Monday 31 December 2012

Kenali 9 Jenis Syaitan

بسم الله الرحمن الرحيم

Sebelum kita tidur, jom kita berkenalan dulu dengan setan2 yang sentiasa ada disekeliling kita. Yang sentiasa menghasut kita untuk melakukan sesuatu yang mungkar. Ambik tau sikit nama2 setan dan peranan depa ni.





 1. DAASIM
Duduk di pintu rumah kita. Jika tidak memberi salam ketika masuk rumah, Daasim akan bertindak agar berlaku keruntuhan rumahtangga, suami isteri bercerai berai, anak-anak tidak mendengar kata.

2. WATHIIN
Pergi kepada orang yang mendapat musibah supaya bersangka buruk terhadap Allah.

3. MURRAH
Merosakkan dan melalaikan ahli dan orang yang sukakan muzik sehingga lupa kepada Allah. Mereka ini tenggelam dalam dunia glemer.

4. WALAHAAN
Menimbulkan rasa was was dalam diri manusia ketika hendak beribadat kepada Allah.

5. HAFFAF
Berkawan dengan kaki botol.

6. MASUUD
Duduk di bibir manusia supaya melahirkan fitnah, gosip, umpatan dan apa sahaja penyakit yang mula dari kata-kata.

7. LAKHUUS
Merupakan sahabat dan orang majusi yang menyembah api dan matahari.

8. ZALITUUN
Duduk di pasar, kedai supaya menghasut manusia berbelanja berlebihan, tamak.

9. A'AWAN
Menghasut sultan, raja atau pemerintah supaya tidak mendekati rakyat. Seronok dengan kedudukan, riak dan tidak mahu mendengar nasihat alim ulamak.

Saturday 13 October 2012

Tips Menghafal dan Mengingati Ilmu Yang Lama


BISMILLAH…

Ustaz, kenapa susah nak ingat bila menghafal?

Saya dah hafal la ustaz, tapi lupa!.

Ucapan begini biasa dijawab oleh pelajar bila disoal makna sesuatu perkataan Bahasa Arab. Tips kali ini akan diterangkan teknik-teknik untuk mengingati sesuatu hafalan. Tips ini umum untuk semua subjek yang memerlukan pelajar mengingati sesuatu ilmu. Bukan terhad subjek Bahasa Arab sahaja.

Allah mengurniakan tahap kecerdasan akal fikiran yang berbeza-beza kepada manusia. Ada yang kuat ingatan, ada yang sederhana dan ada yang lemah. Pelajar yang bijak dan kuat ingatan memadai dengan hanya P&P dalam kelas telah menguasai sesuatu ilmu dengan baik. Itu adalah kurniaan Allah kepadanya dan amat jarang yang mendapat kelebihan seperti ini pada masa kini. Kebiasaannya pelajar memerlukan kepada ulangkaji yang berulang kali baru dapat menguasainya.

Kebanyakan pelajar biasanya berdepan dengan masalah sukar untuk mengingati ilmu yang dipelajari. Perkara yang perlu dilakukan oleh pelajar untuk mengatasi masalah ini ialah ;

PERTAMA : Menghindarkan diri daripada sebarang dosa. Dosa yang dilakukan mengakibatkan hati menjadi hitam. Inilah hijab yang menghalang seseorang mendapat ilmu. Seorang pelajar hendaklah sentiasa menghindarkan diri daripada sebarang dosa agar ilmu mudah diperolehi. Terdapat pelajar yang boleh mengingati isi kandungan yang diajar oleh gurunya walau pun tidak mengulang kaji pada waktu lain. Kenapa ?. kerana hatinya suci bersih dan berkat.

KEDUA : Tingkatkan amalan kerohanian dan amal soleh untuk membersihkan hati dan untuk memperolehi keberkatan daripada Allah SWT. Sentiasa menjaga solat fardu, menunaikan solat-solat sunat, berzikir, membaca al-Quran setiap hari dengan perhatikan makna-maknanya. Amalan-amalan soleh ini akan mencapai keberkatan daripada Allah SWT dalam menuntut ilmu.

KETIGA : Menghafal dalam keadaan fizikal yang sejahtera dan segar, minda yang lapang dan rehat. Mengingati sesuatu merupakan proses yang berat ditanggung oleh akal. Ia memerlukan tenaga yang sempurna daripada tubuh badan yang cergas. Proses mengingati ilmu akan menjadi sukar bila fizikal dalam keadaan letih seperti mata yang mengantuk dan sebagainya. Sekiranya anda dalam keadaan begini dinasihatkan melakukan perkara yang lebih ringan seperti menyalin nota atau membuat latihan-latihan mudah. Kalau menghafal pun hanya akan membuang masa. Dapatkan rehat yang secukupnya untuk mengembalikan kecergasan. Rehat yang terbaik ialah tidur yang mencukupi dan waktu minda yang lapang ialah selepas bangkit dari tidur. Sebab itu kita dapati ramai pelajar yang cemerlang memanfaatkan masa pada awal pagi untuk mengulang kaji dan menghafal pelajaran.

KEEMPAT : Memberi tumpuan sepenuhnya semasa menghafal. Terdapat pelajar yang menghafal sambil mendengar muzik, menonton tv, menghantar sms dan lain-lain lagi. Kalau begini caranya menghafal sampai dua jam pun, dijamin gagal mengingatinya dengan sempurna. Kita hendaklah benar- benar fokus perkara yang ingin diingati tanpa memikirkan perkara lain. Allah jadikan akal manusia tidak dapat fokus terhadap dua perkara dalam satu masa. Ini adalah fitrah kejadian manusia. Walau pun tidak dinafikan terdapat pelajar yang dapat mengulang kaji pelajaran sambil mendengar muzik dan sebagainya. Ulangkaji dan menghafal adalah dua perkara yang berbeza.

KELIMA : lafazkan hafalan anda sehingga didengari oleh telinga anda sendiri. Bila mulut yang menyebut, telinga yang mendengar dan mata yang memandang akan memudahkan akal menerima hafalan tersebut berbanding menghafal tanpa bersuara. Kenapa anda dapat mengingati lagu Inggeris dan Hidustan?. Jawapannya ialah kerana biasa mendengar berulang kali. Inilah kehebatan nikmat mendengar yang merupakan salah satu sumber ilmu.

KEENAM : Ulangi hafalan anda sehingga benar-benar mantap. Tiada had berapa kali yang perlu diulang. Selagi hafalan masih samar dan kabur, ulangi berulang kali. Jangan rasa jemu dan mudah berputus asa. Lebih memudahkan untuk mengingati bila difahami kandungan yang dihafal. Contohnya kita mampu mengingati ayat al-Quran yang dihafal tapi lebih mudah kita mengingatinya dengan difahami makna ayat-ayat tersebut.

KETUJUH : Tulis perkara yang anda hafal tanpa melihat teks. Perkara ini penting untuk memastikan ingatan anda benar-benar mantap atau sebaliknya. Ia juga baik untuk mengelakkan berlaku kesilapan bila menjawab soalan yang sebenar. Semak hafalan yang ditulis tadi dengan teks sebenar. sekiranya terdapat kesilapan, ulangi menghafal sekali lagi sehingga benar-benar diingati .

KELAPAN : Istiqamah dalam menghafal. Untuk mengingati ilmu adalah mustahil hanya dengan sekali hafalan. Hafalan secara berkala dan sistematik perlu dipraktikkan setiap masa. Hafalan boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu hafalan baru dan hafalan lama. Ilmu yang telah diingati jangan dibiarkan begitu sahaja. Ia perlu di‘refresh’ secara berkala bergantung kepada sejauh mana kemantapan sesuatu hafalan. Jangan sia-siakan masa yang telah dihabiskan untuk mengingatinya, kemudian dibiarkan lupa begitu sahaja. Kesimpulannya, hendaklah disediakan jadual pembelajaran untuk membahagikan masa antara hafalan baru dan ‘refresh’ hafalan lama.

KESEMBILAN : Semak hafalan anda dengan rakan yang lain. Amalan ini amat praktikal untuk memantapkan sesuatu hafalan berbanding menghafal bersendirian. Bagi mata pelajaran Bahasa Arab, memperdengarkan dan mendengar soalan dari pihak lain amat mustahak untuk melatih pelajar menguasai kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur. Dengan ini pelajar dapat membiasakan diri bertutur dengan Bahasa Arab dengan lancar dan fasih. Sekurang-kurangnya pelajar tidaklah kekok dan pelik bila menghadapi ujian syafawi ( lisan) kelak.

KESEPULUH : Tampal nota atau bahan yang penting di tempat yang biasa dan kerap dilihat. Ini bertujuan memantapkan hafalan yang penting seperti formula sains atau matematik. Bila diyakini mantap, gantikan dengan nota yang lain. Buangkan gambar-gambar artis kesayangan atau poster yang tidak berfaedah. Hiasi bilik ‘study’ anda dengan perkataan, formula dan ilmu yang bermanfaat.

KESEBELAS : Tips yang terakhir ialah doa dan tawakkal. Pastikan setiap usaha yang anda lakukan seiring dengan pergantungan dan penyerahan diri kepada Allah Yang Maha Pengurnia. Dialah yang menguatkan ingatan, Dialah yang Melupakan. Semuanya dalam KekuasaanNya. Oleh itu, setiap kali sama ada sebelum atau selepas menghafal panjatkan doa kepadaNya tanpa rasa jemu. Yakinlah bahawa doa anda itu akan diterima dan sentisa berbaik sangka dengan Allah. Sekurang-kurangnya anda akan mendapat pahala kerana doa itu adalah satu ibadat. Tidak akan rugi dan menyesal seseorang yang banyak berdoa di akhirat kelak.

Mudah-mudahan sebelas tips yang dinyatakan ini dapat dijadikan panduan dan semoga membantu anda mengingati ilmu yang dipelajari walau pun teknik dan pendekatan belajar berbeza-beza di kalangan pelajar.

Tuesday 24 January 2012

Kelebihan Berzikir Dari sudut Sains


Otak sebenarnya ialah satu himpunan aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi secara sempurna. 

Ketika otak berfungsi, berlaku perubahan kimia di dalamnya yang melibatkan pergerakan ion-ion atau atom-atom yang membawa cas. Setiap hari empat belas juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan enam belas juta saraf tubuh yang lain. 


Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas. Ukuran isyarat otak yang terhasil daripada aktiviti elektrik yang dapat dikenal pasti melalui kaedah electroencephalography (EEG). 

 Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimah-kalimah Allah S.W.T seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. 


Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan. 


Otak mula memahami perkara baru, melihat daripada perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedangkan sebelum berzikir otak tidak sebegini. Otak yang segar dan cerdas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. Kajian dilakukan di University of Washington dengan menggunakan ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar. 
                                            
                                                        
 Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks. 


Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang kali, aktiviti saraf otak merebak ke kawasan-kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. 


Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya. 
Jika ia mengaitkan tentang kecerdasan otak, maka betullah sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Orang yang berzikir kepada Allah S.W.T ditengah-tengah orang yang lalai ibarat sebuah pepohonan yang hijau ditengah-tengah pepohonan yang kering.”